Bilangan kes keracunan makanan Spize kini capai 81 orang





Bilangan mangsa yang terjejas dek keracunan makanan restoran Spize, kini mencapai 81 orang, menurut maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (15 Nov).MOH menambah, sehingga 5.00 petang tadi, sembilan mangsa masih lagi dirawat di hospital akibat keracunan tersebut yang berlaku pada 7 November, manakala 37 pesakit lain sudahpun dibenarkan keluar hospital. Para mangsa yang masih berada di hospital berada dalam keadaan stabil menurut MOH lagi.

Dalam pada itu, kematian salah seorang mangsa semalam akibat keracunan itu, Mohamad Fadli Mohd Saleh, kini disifatkan sebagai kes koroner.Allahyarham Mohamad Fadli, 38 tahun, di kalangan 47 orang yang dimasukkan ke hospital setelah memakan makanan bento yang dipesan dari restoran Spize 7 November lalu.

Ayah dua orang anak itu meninggal dunia malam semalam, di Hospital Besar Sengkang (SKH).
Dalam satu kenyataan media oleh Kementerian Kesihatan (MOH) kepada pihak kami, kesnya itu merupakan kes koroner.Pagi tadi, keluarganya kelihatan berada di rumah mayat Hospital Besar Singapura dalam proses menuntut jenazah Allahyarham yang dihantar ke sana dari SKH.
Keluarga Allahyarham yang ternyata begitu terjejas dengan pemergiannya, meminta diberikan ruang peribadi dan enggan diwawancara.

BERAPA SERING KEMATIAN AKIBAT KERACUNAN MAKANAN BERLAKU?Insiden keracunan makanan yang mencatat lebih 70 mangsa ini adalah kes paling buruk dalam tempoh sekitar sedekad, semenjak kes keracunan rojak India Geylang Serai yang menjejas 150 orang berlaku pada 2009 - meragut dua nyawa.

Pemilik gerai rojak tersebut, Sheik Allaudin Mohideen kemudiannya dikenakan denda $9,000 dan lesennya ditarik balik.Mengulas mengenai kes terbaru ini, pakar-pakar perubatan yang kami temui menjelaskan kematian akibat keracunan makanan sebenarnya jarang-jarang berlaku."Keracunan makanan akan menyebabkan simptom seperti demam, mual, muntah-muntah, cirit-birit, tetapi ia jarang membawa kepada kematian dalam tempoh yang singkat. Kecuali komplikasi berlaku," kongsi Dr Chung Wing Hong, dari Finest Health Medical Centre.

Ia menjadi lebih serius jika berlaku beberapa komplikasi tertentu, seperti penyahhidratan yang membawa kepada kegagalan buah pinggang."Apabila jangkitan menjejas saluran darah, lebih banyak komplikasi boleh berlaku dan membawa kematian. Tetapi di Singapura sistem sokongan perubatan adalah baik dan lazimnya boleh merawatnya. Bagi pesakit seperti ini (Fadli), ia di luar kebiasaan," kata Dr Lim Kim Show, seorang pakar perubatan keluarga, Life Family Clinic.Komplikasi juga lebih berkemungkinan berlaku jika si pesakit atau orang yang terkena keracunan makanan sememangnya mempunyai penyakit kronik atau daya ketahanan tubuh yang lemah.
CAWANGAN LAIN JUGA DIPERIKSA

Cawangan Spize di River Valley Road, yang menjadi punca keracunan makanan pada 7 November, masih lagi digantung oleh pihak berkuasa.Kru BERITA yang berkunjung ke sini mendapati cawangan ini mendapati, para pekerja restoran masih lagi menjalankan pelbagai kerja-kerja pembersihan .
Menurut mereka, pemantauan dijalankan dengan kerap oleh kaki tangan pihak berkuasa dari Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA).
BERITA diberitahu, cawangan-cawangan lain Spize juga dikenakan pemeriksaan, namun masih lagi beroperasi seperti biasa.


0 Response to "Bilangan kes keracunan makanan Spize kini capai 81 orang"

Post a Comment